in Opinion

“Kenapa imam tu tak baca bismillah?”
“Oh, dia mazhab lain tu…”
“Mazhab lain? Bukan Islam tu sumber dia satu Quran je ke?”

Soalan tersebut adalah soalan lazim yang akan timbul apabila menonton atau terdengar bacaan Al-Fatihah di Masjidil Haram ketika bulan Ramadhan.

‘Mazhab’ merupakan sesuatu yang dimomokkan dengan ‘kekeliruan’. Rata-rata antara kita dengan mudah menjawab ‘saya bermazhab Shafie’, namun apabila ditanya ‘kenapa Islam ada mazhab?’, kita cuma boleh mengangkat bahu dan meminta supaya yang bertanya itu bertanya kepada ustaz.

Kenapa Islam ada mazhab?

Maksud ‘mazhab’

Mazhab (مذهب‎), secara literalnya bermaksud ‘jalan’. Mazhab adalah satu jalan pemahaman berpandukan kepada pendapat imam-imam muktabar; yang mana ulama’-ulama’ Sunnah telah sepakat. Pada zaman sekarang, terdapat 4 mazhab besar, Mazhab Shafi’e (berdasarkan pendapat imam Muhammad Bin Idris As-Shafi’e r.h), Mazhab Maliki (berdasarkan pendapat imam Malik bin Anas r.h), Mazhab Hanafi (berdasarkan pendapat imam Abu Hanifah An-Nu’man bin Thabit r.h) dan Mazhab Hambali (berdasarkan pendapat imam Ahmad ibn Hambal r.h).

iqra

Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. (Quran 96:1) (Islam.ru)

Cabang ilmu di dalam Islam

Terdapat banyak cabang ilmu di dalam Islam. Namun begitu, untuk menjadi seorang muslim/muslimah yang benar-benar berjaya, kita seharusnya cuba mempelajari 3 bidang besar ini :

1. Akidah
Akidah (عقيدة) adalah daripada kata akar ‘akad’ yang bermaksud ‘mengikat’. Akidah merupakan pembelajaran tauhid; mengenali, memahami dan meletakkan Allah selayak pada tempat-Nya. Boleh dikatakan ‘akidah’ adalah satu perjanjian antara hamba dengan Penciptanya.

2. Fiqh
Fiqh (فقه‎) membawa maksud ‘pemahaman yang mendalam’. Fiqh (atau Fekah) adalah pemahaman kita terhadap perintah Allah dan nentaati perintah Allah dengan menjalankan ibadah-ibadah yang telah di perintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Boleh dikatakan bahawa ‘fiqh’ adalah pemahaman dan perlaksanaan ibadah kita untuk Allah selepas kita mengakui akan ketuhanan Allah.

3. Akhlak/Tasawwuf
Akhlak (أخلاق‎) adalah perangai/tingkah laku kita. Bidang ini mengajar kita supaya melakukan perkara baik, membersihkan hati kita daripada sifat-sifat yang tidak diredhai oleh Allah dan menjaga tutur kata/perbuatan kita.

Mazhab, di mana letaknya?

Perbezaan pendapat bagi 4 imam besar tersebut adalah di dalam pemahaman mereka terhadap dalil fiqh. Setiap daripada mereka mengumpul dalil-dalil yang termampu oleh mereka dan kemudian mengeluarkan pendapat berdasarkan dalil tertulis dan juga pemahaman mereka terhadap dalil yang telah mereka kumpul. Di sinilah letaknya perbezaan pendapat di dalam mazhab. Contoh yang paling mudah adalah seperti contoh yang disebut pada perenggan pertama.

a. Imam As-Shafi’e r.h berpendapat bahawa bacaan ‘Bismillah’ di dalam surah Al-Fatihah (bagi solat yang bacaannya kuat atau jahar) adalah dibaca dengan kuat.

b. Imam dari mazhab lain berpendapat adalah lebih baik di bacakan ‘bismillah’ dengan perlahan.

Kedua-dua pendapat mereka semua bersandarkan pada pemahaman mereka terhadap beberapa hadith sahih. Perbezaan pendapat seperti ini disebut sebagai ‘khilaf’, dan tidak salah bagi kita untuk berpegang pada mana-mana pendapat dengan syarat kita hendaklah tahu bagaimana imam tersebut mendapat kesimpulan tentang hukum tersebut. Ini untuk mengelakkan kita daripada ‘mengambil mudah’ dan memilih hukum yang hanya sesuai dengan kita.

Muhammad_by_frizdan

Pendapat imam-imam muktabar adalah berdasarkan pandangan mereka terhadap Quran dan Sunnah.(sumber gambar)

Kesimpulan

‘Mazhab’ adalah pandangan berbeza imam-imam muktabar tentang hukum fiqh dan bukan di dalam pemahaman Tauhid. Dengan hanya bertitik-tolak daripada ayat ke 43 Surah An-Nisa’, imam Shafi’e r.h berpendapat adalah batal wudhu’ kedua-dua suami dan isteri apabila kulit mereka bersentuhan, manakala imam Hanafi berpendapat tidaklah batal kerana kalimah ‘lamastum’ (لاَمَسْتُمُ) di dalam ayat (yang bermaksud ‘menyentuh’) adalah merujuk kepada ‘bersetubuh’ dan bukan bersentuhan kulit sahaja.

Harap artikel pendek dan serba kekurangan ini dapat membantu dan dapat menjadi batu loncatan untuk memahami dan mendalami ilmu. Yang baik itu adalah daripada Allah, yang buruk itu adalah daripada kelemahan saya sebagai manusia biasa yang kurang ilmu lagi jahil.

Semoga kita semua dirahmati Allah!

Sumber imej Ka’abah di sini.

 

Write a Comment

Comment

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.

    • Thank you bro! So many things that I need to learn. Menulis dalam English dengan menulis dalam Bahasa Melayu adalah dua perkara yang sangat berbeza lol