in Opinion

“Sekejap tutup aurat, sekejap buka aurat. Apa, kau fikir Neraka tu, bapak kau yang punya?”

Solat pun hujung waktu, ada hati nak minta macam-macam dengan Allah!

Pernah dengar teguran sebegini? Sejak kebelakangan ini, aku selalu membaca dakwah-dakwah dan tarbiah-tarbiah sebegini. Cuba untuk menyampaikan mesej Islam dengan cara yang unik, yang menyentuh hati sanubari yang mendengar. Menekan butang merah supaya yang ditegur tersentak dari lamunan dunia.

Tarbiah sentap. Dakwah sentap.

Teknik ini datang dengan pelbagai nama. Namun modus operandinya sama; menggunakan ayat-ayat yang berbaur menempelak atau menyindir untuk menegur dan/atau berdakwah.

Apa itu dakwah?

Dakwah adalah satu perbuatan yang mana kita menjemput orang berjalan di atas jalan Allah. Ianya adalah dari kata akar yang membawa maksud “memanggil”. Memanggil orang ke jalan Allah bukanlah bererti mengajak orang berjihad (nanti ada pulak yang cakap aku sokong ISIS lol), tapi menjemput orang untuk berdiri di atas jalan yang Allah redhai.

Untuk menjemput, kita mesti sudah berada di tempat tersebut. Agak pelik kalau aku jemput orang datang ke rumah aku, sedangkan aku tiada di rumah ataupun tiada rumah. Begitu juga dengan dakwah, kita mesti sudah berada di atas jalan tersebut, sudah lalui, walaupun sedikit, jalan yang Allah redhai.

Ini tidak bermakna seseorang itu perlu menjadi ustaz atau ustazah untuk berdakwah. Setiap orang boleh berdakwah, asalkan kita mempunyai ilmu tentang Islam, tidak kira samada ianya ilmu yang kecil atau besar.

Method dakwah

Seperti yang aku tulis dalam perenggan pertama di atas, kebanyakkan method dakwah yang aku nampak, lebih-lebih lagi di laman sosial, adalah method berkata sesuatu yang menyakitkan hati orang. Kemudian mereka meletak hashtag seperti #deep, #tersentak, #sentap dan sebagainya.

Apa yang ‘deep’ nya tentang ayat yang tidak menepati ajaran Islam?

Antara contoh yang aku boleh bagi adalah gambar ini

12043112_992498620809540_2470442181876142608_n

Sekali baca, kita akan berasa sesuatu yang berat. Aku juga terkesan, kerana aku bukanlah orang yang kuat menjaga tahajjud aku. Namun aku di ajar, sesuatu yang melibatkan agama, hendaklah di bandingkan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Jika menepati keduanya, maka terimalah; jika tidak, maka tidak rugi untuk aku tolak.

Aku tertanya akan beberapa soalan gambaran di atas, antaranya adalah “mana pencipta gambar ini tahu Allah taknak jumpa? Allah bagitahu dia sendiri?” Sudah pasti jawapannya “tidak“, jika “ya“, dia mengaku dia menerima wahyu. Jadi aku akan tanya, “adakah Allah beritahu di dalam Al-Quran atau As-Sunnah yang Allah tidak mahu jumpa seseorang (untuk tahajjud) kerana orang itu banyak dosa?

Setakat ini, aku tidak menemui jawapan, walaupun aku tanya semua orang yang share gambar ini di Facebook.

Ayat dari gambar ini menutup pintu harapan kepada sesiapa yang melakukan dosa. Adakah benar Allah tidak mahu berjumpa dengan seseorang kerana seseorang itu telah melakukan dosa? Selama aku cuba mencari, aku tidak pernah jumpa; aku cuma jumpa akan ayat ini

quran-39-53

Terang dan nyata bahawa ayat Quran ini bercanggah dengan apa yang telah di tulis di dalam gambar di atas.

Oh, pada pandangan aku, kita susah bangun tahajjud kerana kita sendiri yang kurang berkeinginan untuk melakukan ibadah sunnah itu. Kita yang kurang berkeinginan untuk luangkan masa untuk Allah.

We are the ones who neglect Allah. It’s actually the other way round, buddy!

Bukankah lebih baik jika kita pesan sesama kita, bahawa lagi berat dugaan untuk kita bangun tahajjud, lagi besar ganjaran bila kita berjaya untuk bangun. Allah akan uji seseorang apabila Allah sayang kepada seseorang.

Lagi bertambah semangat untuk bangun tahajjud, bukan?

Nabi s.a.w pun berperang!

Itu laungan mereka. Nabi s.a.w pun berperang! Nabi s.a.w pun berkasar dengan manusia lain!

Aku tak nafikan yang Nabi s.a.w juga berperang. Cuma, kenapa Nabi s.a.w berperang? Perintah perang itu turun supaya Muslim ketika itu bangkit untuk mempertahankan apa diri mereka sendiri. Berapa ramai tentera Muslim ketika itu?

Lebih kurang 300 orang tentera Muslim menentang lebih kurang 1000 orang tentera Mekah Quraisy.

Adakah ini menunjukkan bahawa “peperangan” itu satu method dakwah? Tidak sama sekali! Daripada jumlah askar itu sendiri, kita boleh congak bahawa peperangan itu bukanlah dari “method dakwah” Nabi s.a.w, tapi adalah perintah Allah ke atas Nabi s.a.w dan para Sahabat untuk mempertahankan diri mereka.

Adakah Nabi s.a.w sentiasa berperang? Sudah lupakah kalian akan peristiwa Fattahul Makkah? Kemenangan Nabi s.a.w. dengan pembukaan kota Makkah, di mana tiada pertumpahan darah berlaku, dan tiada ayat-ayat sindir/kasar yang Nabi s.a.w atau para Sahabat lontarkan pada kaum Musyrikin.

“Nabi s.a.w juga berperang” bukanlah satu alasan atau hujjah untuk mengatakan bahawa “kita pun bolehlah guna ayat-ayat sentap”, ini satu perkara yang agak tidak masuk akal. Nabi s.a.w juga tunjukkan kepada kita cara dakwah yang baik, iaitu sentiasa memberi harapan dan bertutur dengan ayat-ayat yang baik dan penuh kasih sayang.

Kenapa yang itu korang taknak ikut, ah?

Perintah Allah kepada Musa a.s.

mesir

Kita semua sedia maklum bahawa kejahatan yang paling besar di dalam sejarah peradaban dunia adalah Firaun laknatullah. Firaun bukan sahaja membunuh bayi yang tidak berdosa hanya kerana mimpi, dia juga mengaku bahawa dialah Tuhan semesta alam.

Tiada dosa yang lebih besar di sisi Allah selain daripada syirik, lebih-lebih lagi mengaku diri sendiri sebagai Tuhan; dan tiada lagi kesalahan yang paling tidak masuk akal untuk manusia selain daripada membunuh bayi yang tidak bersalah.

Walaupun Firaun layak menerima kutukan dari langit dan bumi, Allah tetap memerintahkan ini kepada Musa a.s. :

quran-20-43

Allah masih perintah Musa a.s supaya bercakap kepada Firaun dengan lemah lembut, berdakwah kepada Firaun dengan lemah lembut, walaupun Firaun itu telah mengaku dirinya Tuhan.

Jika Firaun pun masih menerima dakwah yang lemah lembut, adakah kawan-kawan kita yang tersilap itu, patut kita berdakwah dengan dakwah yang kasar, menyindir dan menyakitkan hati?

Setiap orang perlukan masa

132H

Aku tahu ayat di atas pasti ada yang tidak setuju. “Mati tak kenal usia! Sampai bila dia nak macam tu?” adalah salah satu daripada ayat jawapan yang aku selalu dapat kalau aku cuba ingatkan orang yang melakukan ‘dakwah sentap’.

Mati bukan urusan kita. Tugas kita adalah menyampaikan, bukan fikir tentang hidup mati orang tersebut.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq menerima Islam sebaik sahaja dia mendengar akan wahyu. Saidina Umar Al-Khattab pula mengambil masa lebih kurang 5 tahun. Perlukah aku sebut tentang Abu Sufyan? Para sahabat Nabi s.a.w  juga perlukan masa, walaupun mereka mendengar dakwah dari Nabi s.a.w sendiri.

Begitu juga dengan perintah-perintah dan larangan-larangan di dalam Quran. Perintah pengharaman khamar (meminum alkohol) turun sebanyak 3 peringkat. Para Sahabat Nabi s.a.w, yang belajar di bawah pimpinan baginda Muhammad s.a.w sendiri, juga perlukan masa untuk menerima Islam secara keseluruhan.

Siapa kita untuk memaksa orang menerima dakwah kita yang tak seperti dakwah Nabi s.a.w.? Siapa kita nak tentukan “Allah taknak jumpa kau” ataupun “kau buat macam ni memang confirm masuk neraka lah kau!”?

Siapa bagi kita kelebihan darjat untuk cakap ayat-ayat begitu kepada sahabat-sahabat kita?

Adab adalah kunci kepada dakwah

Kata-kata itu bukanlah kata-kata ulama’, ianya adalah pandangan peribadi aku setelah aku duduk bersama-sama dengan pendakwah, baik yang bertaraf celebrity mahupun yang hanya istiqomah di dalam melakukan kebaikan kepada masyarakat. Aku terkesan dengan apa yang ustaz aku pesan kepada aku :

Orang yang berilmu itu, jika tiada adab maka semua orang benci; orang yang beradab itu, kurang ilmu pun orang akan sayang. Dengan adab, maka kita dapat menarik hati orang untuk mengenal Islam.

Adablah yang akan menyebabkan seseorang itu tertarik kepada sesuatu. Seseorang yang sentiasa mencela dan mengeluarkan ayat-ayat sindiran tidak akan disenangi oleh sesiapa, mahupun keluarga sendiri. Bagaimana seseorang itu mahu melakukan dakwah, jika dia tidak disenangi oleh orang sekeliling? Nabi Muhammad s.a.w, yang dibenci oleh orang Quraisy kerana misi dakwah baginda, secara keseluruhannya disayangi oleh orang-orang Mekah kerana adab baginda s.a.w yang sangat tinggi.

Baginda di gelar Al-Amin sebelum baginda diangkat menjadi Rasul.

“Berdakwah”, seperti yang disebut di atas, membawa makna “menjemput”. Boleh ke kalau kita jemput orang datang rumah kita tapi kita guna ayat sindir/tempelak/makan dalam/sentap? 😛

Berhentilah menyakiti orang atas nama agama

He has no enemies, but is intensely disliked by his friends.

– Oscar Wilde

Aku tidak tahu penulisan aku ini akan sampai kepada siapa. Namun, kalaulah ada yang baca, aku menyeru kepada yang membaca ini supaya berhentilah dari menyakiti perasaan kawan-kawan kita. Untuk berdakwah, kita patut ada perasaan kasih sayang sesama kita. Nabi s.a.w berdakwah dengan kasih sayang, sentiasa memberi harapan kepada orang untuk kembali kepada Allah.

Aku tidak pernah jumpa kisah di mana Nabi s.a.w  menyinggung perasaan orang dengan niat “kalau dia sentap, dia akan fikir”. Kalau kisah ini ada, kongsilah dengan aku. Aku nak belajar lagi.

Mari kita sama-sama berdakwah dengan kasih sayang dan hikmah. Hikmah tidak semestinya dengan ayat-ayat yang ‘makan dalam’, dan al-hikmah yang terbaik adalah Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Berhentilah menyakiti orang atas nama agama. Mari kita belajar cara Nabi s.a.w berdakwah dan kita terapkan di dalam amalan kehidupan seharian kita. 🙂

Disclaimer : Aku merujuk kepada ‘method’ berdakwah dan bukan mana-mana group atau gerakan yang menggunakan nama ‘dakwah/tarbiyah sentap’. Jika nama group tersebut adalah ‘Dakwah Sentap’ tetap method dakwah mereka berasaskan sunnah Nabi s.a.w, maka aku sokong group ini.

Write a Comment

Comment

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.

  1. Assalamualaikum. Just a peaceful comment. How i learned in school was that war was in fact an act of dakwah. Yes, it is to protect them. But also war against other places to spread islam. I don’t have any example for this. But please, correct me if I’m wrong.

    • Wa’alaikumussalam. Hi Badzli, thank you for commenting.

      Peperangan ke atas satu negara tidak berlaku melainkan dakwah berhikmah telah sampai kepada perintahnya. Nabi s.a.w menghantar surat kepada setiap negara dan berdakwah tentang Islam. Peperangan bukan medium dakwah utama; ianya adalah medium terakhir.

      Peperangan juga adalah salah satu jalan untuk membuka kemasukan Islam ke satu negara. Selepas peperangan tamat, rakyat tidak dipaksa untuk menerima Islam. Pembukaan BaitulMaqdis menunjukkan bahawa Salahuddin Al-Ayubi tidak memaksa Nasara dan Yahudi menerima Islam.

      In short, war is not a method to do dakwah. It’s just a door for da’i to come to the land.

      Yang paling banyak dilakukan oleh baginda Muhammad s.a.w adalah berdakwah dengan ilmu, hikmah, dan adab yang terpuji. Islam tersebar bukan di atas mata senjata, tetapi di atas mata pena dan ketinggian adab/akhlak pendakwah dan ilmuan kita.

      Inilah pandangan saya. 🙂

Webmentions

  • Bagaimana Untuk Berterus-terang Secara Jujur (Tanpa Melukakan Hati) #tenWu | tenwuazhar July 3, 2017

    […] Tujuan kita bukanlah hendak membuat orang lain tersentap. […]